26 November 2013

BERITA | BAPA CURANG DURJANA

Gombak: Seorang wanita patah tulang hidung manakala bayinya berusia tiga bulan kini menerima rawatan di hospital kerana dikhuatiri mengalami gegaran otak, angkara amukan seorang suami yang naik minyak selepas kecurangannya dengan wanita lain terbongkar.
Kejadian berlaku di rumah keluarga berkenaan di Desa Jaya, Kepong kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu, sebelum dua beranak terbabit dihalau keluar dari kediaman itu. Wanita berusia 33 tahun yang enggan dikenali itu berkata, kejadian bermula ketika dia mengemas rumah dan menjumpai telefon bimbit suaminya yang mengandungi mesej ayat-ayat cinta dengan seorang wanita.

Menurutnya, marah dan kecewa dengan kecurangan suami, dia segera menghubungi suaminya yang memiliki satu lagi telefon bimbit menyebabkan mereka bertengkar.
“Tidak lama kemudian suami pulang ke rumah dalam keadaan marah-marah dan terus memukul serta menumbuk muka saya beberapa kali.

“Tidak cukup dengan itu, dia turut menendang dan membelasah saya selama beberapa minit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Wanita itu berkata, selepas puas membelasahnya lelaki berusia 30-an itu bagaikan hilang akal apabila mengambil pula bayi perempuan mereka yang demam dan ketika itu sedang tidur.
“Suami saya memukul dan mencampak bayi kami ke sofa. Akibat dicampak kira-kira dua meter, bayi saya menangis, namun suami masih berang apabila menghalau kami berdua keluar dari rumah.

“Sebaik keluar dari rumah itu, saya terus ke hospital dan sehingga kini (semalam) anak saya masih menerima rawatan. Doktor melakukan ujian imbasan untuk mengesan jika berlaku gegaran pada otak anak dan keputusannya masih belum diterima,” katanya.
Mangsa berkata, sebelum ini sudah beberapa kali dia dipukul namun kali ini suspek bertindak lebih teruk apabila bayi perempuan mereka turut menjadi mangsa.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Desa Jaya dan tindakannya itu menyebabkan suaminya bertambah marah.

“Suami tahu saya membuat laporan polis kerana dia ada menghubungi dan mengugut mahu memukul saya. Katanya, apa yang berlaku adalah kesalahan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan mangsa.

2 comments:

Solehah Shamsuddin said...

ishh apa punya suami la. kejamsss

Paperbag Head said...

dah kantoi malah marahkan bini pulak...kalo bini tu dpt nk membahagiakan, kan ade lg cara yg lebih elok...gilo.