BESUT - Dua pasangan kekasih ditahan dalam Operasi Bersepadu membabitkan beberapa agensi penguat kuasa yang diadakan di sekitar daerah ini bermula malam kelmarin dan berakhir pagi semalam.
Kedua-dua pasangan terbabit ditahan bersama pasangan masing-masing di lokasi berbeza kerana didapati berdua-duaan dalam bilik tanpa sebarang ikatan yang sah.
Pasangan pertama yang berusia 21 tahun dan kedua-duanya beralamat di Pahang ditahan di sebuah hotel, di bandar Jertih.
Difahamkan wanita terbabit datang dari Kuala Lumpur untuk bertemu kekasihnya yang sedang bekerja di sebuah tapak pembinaan, dekat sini.
Mereka yang menyewa sebuah bilik hotel, dekat sini, diberkas hasil pemeriksaan sepasukan pegawai dan anggota polis yang turut disertai anggota Penguatkuasa Syariah Pejabat Agama Daerah dan Penguatkuasa Daerah Besut.
Kedua-dua mereka ditahan kira-kira jam 11.30 malam selepas gagal menunjukkan bukti mempunyai hubungan suami isteri atau mahram.
Manakala pasangan kedua pula ditahan ketika berdua-duaan di sebuah chalet di Pantai Air Tawar, kira-kira jam 11.45 malam oleh pasukan lain.
Lelaki berusia 21 dan teman wanitanya berusia 20 tahun yang beralamat di Kampung Gaung, Jertih dan Apal, Jabi itu menyewa bilik tersebut semata-mata untuk bertemu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kedua-dua pasangan terbabit diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Negeri Terengganu 2001.
“Dalam operasi sama polis turut menahan empat suspek kerana disyaki mengambil dadah dan mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
SUNGAI PETANI - "Mungkin esok namaku Arwah. Hari ini aku berpakaian cantik dan mewah, mungkin esok aku akan pakai kain kafan. Hari ini aku berpijak di atas tanah, mungkin esok aku duduk di bawah tanah."
"Hari ini aku boleh mandi sendiri, mungkin esok orang lain yang akan memandikan aku. Hari ini aku bahagia bersama orang di sekelilingku, mungkin esok aku akan bersendirian di sana. Andai kata hari ini hari terakhir aku hidup di dunia, ampunkanlah salah dan silap aku sepanjang perkenalan kita. Sekiranya aku pergi, sedekahkanlah al-Fatihah sebagai tanda kau merinduiku.”
Demikian bait-bait puisi yang dimaksudkan Norfaezah Budiman, 21, melalui akaun Facebook miliknya yang dikemas kini 10 Februari lalu merupakan petanda seolah-olah mengetahui bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.
Status tersebut mendapat reaksi orang ramai setelah Norfaezah meninggal dunia awal pagi semalam ketika membonceng motosikal sebelum dirempuh sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Lagenda Heights, Sungai Petani.
Ibu mangsa, Sarina Abu Othman, 49, dari Flat Paya Nahu berkata, anak kedua dari enam beradik itu sempat berpesan supaya ibu menjaga bapa selain adik bongsu berusia tujuh tahun sebelum beredar ke rumah sewanya tidak jauh dari situ.
“Dia peluk saya, belai dan sandar di badan saya, apabila ditolak, dia kata biarlah dia nak bermanja dan meminta saya jangan ke mana-mana serta menemaninya,” katanya.
Sebelum pulang ke rumah sewa, Norfaezah ada memberi RM5 kepadanya dengan berkata, duit berkenaan untuk kegunaan ibunya ke tempat kerja.
Sarina berkata, sebelum pulang, dia seolah-olah melihat lambaian Norfaezah kelihatan sayu dan rupa-rupanya itu petanda ajal dia akan pergi buat selama-lamanya.
Bagaimanapun, katanya dia terkilan kerana Norfaezah ada meminta supaya dia menghantar makanan tengah hari kepadanya kelmarin ketika sedang bekerja di sebuah kedai telefon bimbit namun tidak dapat berbuat demikian kerana tiada kenderaan.
Status Facebook tentang kematian
Sementara itu, rakan baik mangsa, Azie Azira Aziz, 18, berkata, sebaik berita kemalangan dimaklumkan kepadanya, dia teringat status kemas kini akaun Facebook milik Norfaezah yang menulis tentang kematian.
Katanya, status itu hanya dianggap biasa sehingga menerima berita mengejutkan awal pagi semalam tentang kematian Norfaezah.
Dalam kemalangan terbabit, Norfaezah dikatakan membonceng motosikal rakannya, Azwan Shah Ishak, 25, sebelum dirempuh sebuah kenderaan dari arah belakang.
Azwan Shah yang mengalami kecederaan parah dirujuk ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira tujuh jam kemudian.
Keluar makan bersama
Saksi kejadian, Fhadirul Azmin Mohd Yusof, 22, berkata, dia bersama rakan lain menunggang lima motosikal baru sahaja selesai makan dekat sebuah warung di Stesen Bas Sungai Petani.
“Tiba di lokasi kejadian, kami terdengar bunyi kuat dari arah belakang, namun belum sempat berbuat apa-apa, sebuah kenderaan merempuh motosikal menyebabkan Norfaezah terpelanting jauh,” katanya.
Menurutnya, dia mengenali kedua-dua mangsa sejak kecil dan cukup rapat selain sering bersama rakan-rakan lain ke mana sahaja.
“Kami merancang untuk ke Thailand Khamis ini beramai-ramai, tetapi apabila jadi begini, terpaksa batalkan hasrat tersebut,” katanya.
Peraturan baharu pastikan penjawat awam bebas salah guna dadah
Nusajaya: Johor dijangka menjadi negeri pertama menguatkuasakan peraturan mewajibkan semua penjawat awam menjalani ujian saringan air kencing pada setiap tahun bagi memastikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah. Selain menjalani ujian air kencing, penjawat awam juga diwajibkan menghadiri bengkel dan kursus pencegahan dadah di tempat kerja yang akan diambil kira dalam Sasaran Kerja Tahunan (SKT) masing-masing.
Ia bukan saja membabitkan lebih 20,000 penjawat awam, malah Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut diwajibkan menjalani ujian berkenaan” Ayub Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor
SHAH ALAM: Kumpulan pelawak, Sepahtu yang dianggotai Mohd Nadzri Zainal Abidin, Shahmira Muhamad dan Rahim Mat Ali dinobatkan sebagai juara program realiti Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013 menewaskan empat peserta lain, pada pentas akhir program yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini, malam tadi.
Persembahan lawak yang bertemakan muzikal dan bebas itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500,000 dan trofi.
Manakala, tempat kedua dimenangi kumpulan Shiro yang dianggotai Shahrol Azizie Azmi dan Mohamad Hanffi Razak yang memenangi hadiah RM250,000 berserta trofi
Tempat ketiga dimenangi Bocey (Muhamad Fadzlie Mohd Nizam, Mohd Nasir Hamzah dan Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan) yang menerima hadiah RM150,000 serta trofi. Tempat keempat dan kelima dimenangi kumpulan Jambu (Zamatul Amri Zakaria dan Yussry Edoo) dan Ahmad Nabil Ahmad masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM15,000 berserta trofi.
Sementara itu, Bocey dipilih sebagai kumpulan terbaik pada final Maharaja Lawak Mega 2013.
Program yang diadili juri tetap, Datuk Yusof Haslam, Luna Maya, Sheikh Haikel dan Nora Danish sebanyak 70 peratus itu turut diadili penonton melalui undian SMS sebanyak 30 peratus.
Hadiah disampaikan Ketua Saluran Premium Astro, Nizam Sani dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anuar Salleh.
Hari Akhir (al-Yaum al-Akhir) bermaksud sebagai hari kebinasaan seluruh alam dan terhentinya segala kehidupan secara keseluruhannya.
Selain itu, ia juga bermaksud sebagai memasuki kehidupan akhirat bermula dari saat itu. Secara mudah, al-Yaum al-Akhir merujuk kepada hari terakhir kehidupan di dunia, sekali gus hari pertama bermulanya hari penghabisan.
Beriman atau percaya akan al-Yaum al-Akhir adalah satu daripada Rukun Iman. Tidak sempurna iman seseorang Islam jika tidak meyakini atau percaya akan al-Yaum al-Akhir seperti yang dipaparkan melalui firman Allah SWT dalam ayat 13 hingga 18 Surah al-Haqqah:
“Maka apabila sangkakala ditiup sekali tiup dan diangkatlah bumi dan gunung-ganang, lalu dibenturkan keduanya sekali bentur. Maka pada hari itu terjadilah hari kiamat, dan terbelahlah langit, kerana pada hari itu langit menjadi lemah. Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu lapan malaikat menjunjung Arsy Tuhanmu di atas (kepala) mereka. Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tiada sesuatu pun daripada keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah)”.
Sesiapa yang melarikan diri daripada beriman kepada al-Yaum al-Akhir bermakna dia melarikan diri daripada kebajikan dan jadilah ia seburuk-buruk makhluk.
Tanpa beriman kepada al-Yaum al-Akhir, seseorang itu menjadi makhluk yang tidak mempunyai kebaikan sama ada untuk diri sendiri atau orang lain.
Penghisaban
Untuk menghadapi al-Yaum al-Akhir, setiap umat Islam harus melakukan penghisaban ke atas diri sendiri kerana sesiapa yang melakukannya akan memperoleh keringanan penghisaban pada hari akhirat.
Selain itu, umat Islam juga harus membuat persiapan dengan melakukan amal soleh dan membersihkan hati serta perbuatan.
Firman Allah SWT pada ayat 47 Surah al-Anbiya: “Kami akan memasang timbangan tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahalanya). Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan”.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kalian siapa itu orang yang muflis?” Sahabat menjawab “Orang yang muflis menurut kami itu adalah yang tidak punya dirham dan tidak punya harta benda”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang bangkit dari umatku adalah yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun datang juga dengan perbuatan mencela orang, lalu diberikan kepada orang sebahagian kebaikannya.
Jika kebaikannya habis sebelum lunas dosanya, maka akan diambil dari kesalahan mereka, lalu dialihkan kepadanya, kemudian dia dilemparkan ke dalam neraka”.
Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan supaya sentiasa menginsafi bahawa kematian adalah ajalnya, kubur adalah pembaringannya, cacing adalah temannya, Munkar dan Nakir sebagai penunggunya, kubur adalah tempat tinggalnya dan syurga atau neraka adalah muaranya.
Allah SWT berfirman dalam ayat 30 Surah Fushilat: “Sesungguhnya orang yang mengatakan “Tuhan kami ialah Allah.” Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan) “Jangan kamu berasa takut dan janganlah kamu berasa sedih”.
Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa rakyat menghargai penurunan harga kangkung dan memuji kerajaan, sayur murahan yang sering dikaitkan dengan belacan menjadi sensasi mencemuh program pemotongan subsidi Najib.
Sepanjang minggu ini, kangkung menjadi tajuk akhbar, perbualan di meja makan, jenaka dan tersebar luas di media sosial.
Sebagai contoh, edisi terbaru That Effing Show yang diacara dan diterbitkan Ezra Zaid bertajuk “Let Them Eat Kangkung” dimuat naik pada Khamis lalu sudah ditonton sebanyak 54,000 kali.
Video berdurasi enam minit itu mengulas mengenai kenyataan Najib, pertubuhan rekaan seperti Persatuan KangKung Satu Malaysia (Perkasa), Malaysian Choi-sum Association (MCA) dan Machas Institute of Cucumber (MIC) membicarakan tentang kangkung.
“Pengumuman mengejut perdana menteri dan tidak disangkakan tentang harga kangkung menyebabkan kekacauan seluruh negara. Jualan panik membuatkan harga jatuh dan mengundang kemarahan,” menurut permulaan video itu merujuk kepada perubahan politik selepas lapan bulan pilihan raya umum 2013.
Ezra berkata, komedi dan sindiran mampu mengundang kesedaran awam.
“Mereka boleh mencari ketenangan dengan komedi melalui banyak perkara yang tidak dapat difahami,” katanya.
Katanya, arena komedi dan sindiran satu spektrum luas yang boleh membincangkan perkara yang sukar dalam keadaan normal.
“Ia lebih fleksibel daripada dunia politik. Apabila khalayak mengaitkan dengan kandungan, ia membantu mereka mudah memahami sesuatu isu,” katanya selaku pemilik PopTeeVee yang menerbitkan rancangan parodi.
Pelakon dan pengarah artistik The Instant Cafe Theatre Company, Jo Kukathas, berkata komedi dan sindiran merubah cara khalayak berfikir dan sikap mereka terhadap ahli politik.
“Seni tidak memberikan kesan secara terus kepada ahli politik tetapi mengubah khalayak yang mengundi. Penonton dapat melihat apa yang kami buat dan mereka tertarik,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Kukathas berkata, kebanyakan warga Malaysia mempunyai sikap feudal yang merasakan sesuatu perkara biadap atau tidak dapat menerima pemimpin mereka diketawakan.
“Tetapi apabila kita membuat perkara lucu tentang mereka yang berkuasa, kita juga membuat penonton ketawa dan itulah membuatkan mereka lebih berkuasa. Ketika itu ahli politik melihat perubahan sikap pengundi mereka, pengundi akan melihat mereka dengan cara berbeza,” katanya.
Menggambarkannya sebagai "meleraikan ikatan", penganalisis politik dari Institut Pulau Pinang Wing Chin Huat bersetuju komedi dan sindiran membantu mendemokrasikan masyarakat.
“Kesannya kepada rakyat bawahan. Kita cenderung ditakutkan pihak berkuasa dalam masyarakat feudal. Kemarahan tidak membantu mengatasi ketakutan tetapi gelak tawa,” katanya.
Wong berkata, ketakutan hilang apabila ramai mentertawakan mereka yang berkuasa dan hasilnya orang ramai menjadi lebih berkuasa.
“Mustahil anda takutkan seseorang yang anda tertawakan. Tetapi apabila ahli politik berkata sesuatu yang bodoh dan kita ketawa, kita jadi berani,” katanya.
Ezra berkata, cabang seni seperti komedi dan sindiran memainkan peranan membentuk pandangan masyarakat.
“Wacana seperti ini semakin mendapat perhatian. Ramai yang sudah mula mengekspresikan diri,” katanya.
Namun, mempermainkan pemimpin negara ada padahnya.
Ada segelintir yang membantah keras jenaka seperti ini termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang membuat laporan polis pada Oktober tahun lalu berhubung satu episod The Effing Show apabila kumpulan itu mempermainkan keputusan Mahkamah Rayuan menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.
Mereka berkata klip "The Effing Show #95: Allah, Apa Lagi?" tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.
Mengulas isu itu, Ezra berkata, kematangan kerajaan dalam mengendalikan jenaka seperti itu adalah ujian kekuatan mereka.
“Jika kerajaan tidak boleh berdepan dengan jenaka, ia menunjukkan mereka lemah. Mana-mana kerajaan yang mengarahkan anda tidak boleh lakukan itu dan ini, pasti ada yang tidak kena.
“Lebih banyak anda mengelak, lebih banyak padah yang datang,” katanya.
Kukathas berkata: “Ahli politik hidup dalam kepompong. Malah laporan kangkung oleh BBC, mereka tidak suka.”
“Ahli politik tahu kuasa jenaka dan sindiran. Apabila banyak jenaka bermakna ahli politik kurang berkuasa kepada rakyat,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk dari PKR, Lee Khai Loon pada Rabu mengetuai pertunjukan seramai 15 orang di Alma, Bukit Mertajam bersama replika Najib dan poster mengkritik ‘kangkung’.
Mereka turut menyuapkan kangkung ke mulut replika itu sambil menyanyi lagu "Lenggang-lenggang Kangkung" versi yang diubah.
Ahli parlimen Umno menyelar perbuatan Lee dan mendakwa tindakannya menghina pemimpin negara.
“Adakah anda sedar anda menghina pemimpin negara? Ia bermaksud anda menghina diri sendiri,” kata Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Najib mengulas isu kangkung pada Khamis tentang mengapa beliau menggunakan sayuran itu sebagai contoh.
"Saya suka makan kangkung, anda semua suka makan kangkung...(sebab itu) saya beri contoh yang semua orang makan. Kalau saya beri contoh seperti burung puyuh, orang tertentu sahaja makan.
"Tidak seharusnya contoh itu dipermainkan oleh sesiapa kerana saya beri contoh sebagai prinsip 'supply and demand' (penawaran dan permintaan) yang tentukan harga sebahagian daripada barang makanan yang kita tidak kenakan harga kawalan," katanya. – 18 Januari, 2014.
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Angin kencang dan laut bergelora tahap kategori ketiga yang melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor
Timur, kawasan pedalaman Pantai Barat dan Kudat di Sabah, Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Isnin depan.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak melebihi 5.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk perkhidmatan feri.
"Selain daripada itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut," menurut kenyataan itu.
Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang melanda perairan Sandakan di Sabah juga akan berterusan sehingga Isnin depan dengan keadaan angin kencang yang bertiup antara 50 hingga 60 km/jam serta ombak setinggi 4.5m.
Keadaan ini juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut. Angin kencang dan laut bergelora tahap kategori pertama juga akan berterusan sehingga Isnin di kawasan perairan Tawau, Semporna dan Lahad Datu di Sabah dengan kelajuan angin 40 dan 50 km/jam serta ombak mencapai ketinggian 3.5m.
Kuala Lumpur: “Wanita yang mudah terperdaya dengan kata-kata manis seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook kemudian mereka bertemu, ibarat seperti menempah bala,” kata pakar motivasi Dr Rubiah Hamzah.
Beliau yang juga penceramah bebas berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang jururawat berusia 25 tahun terpaksa mengambil masa empat hari untuk mencari jalan meloloskan diri daripada menjadi ‘tawanan’ seorang Romeo Siber yang mengurungnya di sebuah rumah di Seksyen 19, Subang Jaya, yang dikenali melalui Facebook, Oktober lalu. Difahamkan, Romeo Siber yang hanya bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta itu juga dipercayai sudah memperdaya sekurang-kurangnya tiga wanita muda melalui Facebook sejak enam bulan lalu.
Menurutnya, selagi laman sosial Facebook itu disalah guna, pelbagai masalah akan timbul sekali gus menyebabkan individu terjebak dalam kes keruntuhan moral.
“Jika dalam Facebook itu terdapat paparan gambar yang mendedahkan aurat serta menaikkan nafsu syahwat lelaki, tidak mustahil ia mendatangkan kemudaratan kepada wanita itu.
“Pendapat saya, wanita yang berkenalan melalui Facebook kemudian melalui fasa berjumpa dengan lelaki itu diibarat sudah menempah bala, kerana usia perkenalan tidak menjamin kebaikan lelaki itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Katanya, mengambil contoh anak gadis yang berada di pusat perlindungan di negara ini yang kebanyakan sudah ‘rosak’ akibat mudah percaya kepada Romeo Siber.
“Fenomena pergaulan menerusi laman sosial turut disifatkan sebagai pergaulan bebas tanpa batasan dan mampu menyebabkan individu terjebak dalam kes keruntuhan moral.
“Malah, ada antara lelaki itu bermodalkan ayat manis dan wajah kacak hingga berjaya menjerat cinta gadis remaja dengan menggunakan Facebook untuk menjadi pemuas nafsu mereka. Sasaran mereka adalah gadis remaja yang kemaruk melayari laman sosial untuk mencari kenalan hingga jatuh cinta dan seterusnya menyerahkan kehormatan diri,” katanya.
Kuala Lumpur: Hanya bermodalkan telefon pintar murah berserta capaian Internet, sesiapa saja termasuk remaja di bawah umur kini boleh mengikuti perbincangan seks, gambar, klip video serta mesej lucah tanpa sebarang sekatan di laman sosial.
Jika sebelum ini negara digemparkan dengan penghasilan klip video, web serta blog lucah, aplikasi Twitter dikesan menjadi trend terbaru kepada generasi moden untuk memuaskan nafsu mereka.
Fenomena ini nyata membimbangkan terutama golongan ibu bapa kerana ramai remaja kini memiliki telefon pintar manakala capaian Internet pula boleh dilanggan dengan kos serendah RM5, malah ada tempat menyediakan perkhidmatan Internet tanpa wayar (WiFi) secara percuma.
Ungkapan seperti ‘I kat dalam bilik tengah bogel sayang’, ‘Hisapkan **** Anis please’, ‘Cepatlah sayang, I tak tahan ni’ adalah antara pertuturan dan perbincangan seks secara terbuka di laman berkenaan dengan purata ribuan pengikut bagi setiap pemilik akaun.
Lebih membimbangkan, terdapat juga gambar, animasi dan klip video seks, humor seks, usikan terhadap pengikut seperti ajakan berasmara secara siber yang boleh mendatangkan kesan buruk jika tidak dipantau.
KUALA LUMPUR - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menasihatkan mereka-mereka yang masih belum berkahwin supaya menamatkan zaman bujang sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April 2015.
Jelas Rafizi yang juga merupakan ahli Parlimen Pandan, pelaksanaan GST akan memberi bebanan kepada bakal pengantin kerana terpaksa membayar lebih kepada katerer.
"Sekiranya GST dilaksanakan, semuanya turut akan terkesan, semua barang akan naik harga," katanya ketika majlis pelancaran kempen Faham GST - Tolak GST di Kelab Sulaiman, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Rafizi menjelaskan hanya beberapa perkara sahaja dikecualikan GST sebaliknya hampir keseluruhan barang dan perkhidmatan akan dikenakan cukai tersebut, sekali gus akan menambah penderitaan rakyat.
"Hanya belacan, cencaluk, kacang dhal, beras, sektor pendidikan dan kesihatan sahaja yang akan dikecualikan GST, namun hampir keseluruhan barang dan perkhidmatan selain perkara itu akan dikenakan GST.
"Oleh itu, saya sarankan rakyat tolak GST kerana GST akan memberi bebanan kepada kita," katanya.
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) semalam membuat laporan polis terhadap sebuah akaun Facebook memaparkan puluhan gambar gadis tempatan dalam keadaan mengghairahkan yang mula dikesan sejak lebih sebulan lalu.
Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup berkata, kewujudan akaun lucah seperti itu harus disekat bagi mengelak ia terus berkembang serta membawa budaya yang buruk dalam masyarakat di negara ini.
Menurutnya, MJMM juga menggesa pihak berkuasa menyiasat dalang yang terlibat kerana khuatir sekiranya gadis-gadis berkenaan diperguna atau diperdagangkan oleh pihak-pihak tertentu.
“Kita tidak tahu sama ada mereka dengan rela atau dipaksa melakukan aksi berkenaan, jadi kita minta pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat perkara ini,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, semalam.
Sementara itu hasil carian Sinar Harian mendapati laman sosial berkenaan aktif memuat naik gambar-gambar sejak seminggu yang lalu.
Namun selepas laporan polis ini dibuat pagi semalam, tinjauan semula mendapati pengendali akaun lucah berkenaan telah bertindak menutup akaun tersebut.
SHAH ALAM - Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menegaskan kejadian turun salji di Mesir bukanlah satu petanda kiamat.
Menurutnya, ada pihak mendakwa bahawa turunnya salji di Mesir sebagai satu tanda Kiamat berdasarkan hadis riwayat Muslim, Ibn Hibban dan lain-lain bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak berlaku kiamat sehingga Tanah Arab kembali menjadi bumi yang menghijau dan sungai-sungai".
“…sebenarnya perkataan 'Tanah Arab' itu lebih merujuk kepada Jazirah Arab (Hijaz) dan boleh merangkumi Iraq, Yaman, Sham (Jordan Palestin dan Syria). Adapun Mesir ia bumi Afrika.
“Kemudian salji memang saban tahun turun di Jordan, Palestin dan Syria sejak sekian lama, maka itu bukan tanda kiamat.
“Hadis itu sebut Tanah Arab kembali menjadi hijau dan sungai bererti dahulu telah pun demikian keadaannya. Apabila Jazirah Arab (Saudi), Iraq, Yemen, Syria, Jordan, Palestin dan sekitar menghijau dan banyak sungai maka itu itu tanda kiamat.. oleh itu hati-hati dalam memberi maksud hadis,” katanya yang dipetik menerusi laman Facebooknya.
Baru-baru ini, Mesir sebuah negara yang beriklim panas, dituruni salji buat kali pertama dalam 112 tahun.
Mayat Muhammad Hanif timbul jam 7.40 pagi semalam selepas hampir 24 jam dia dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan di Pantai Teluk Bidara pagi kelmarin.
DUNGUN – “Hanif, mak datang, timbul Hanif, timbul Hanif,” seru Tuminah Taib, 54, sebelum mayat anak lelakinya, Muhammad Hanif Jainuri, 18, timbul di permukaan laut selepas hilang dalam tragedi lemas berdekatan Gua Teluk Bidara, dekat sini pagi kelmarin.
Usaha mencari mangsa oleh pasukan penyelamat sejak jam 9.30 pagi kelmarin menemui jalan buntu susulan ombak besar dan arus kuat di pantai berdekatan gua itu, namun mangsa seolah-olah 'menunggu' kehadiran ibunya apabila ia tiba-tiba timbul jam 7.50 pagi semalam sebaik ibunya tiba di lokasi kejadian.
Menurut Tuminah, dia menerima berita sedih itu ketika berada di tempat kerjanya di Senggerang Johor, kira-kira jam 2 petang pada hari kejadian dan bertolak ke Dungun pada sebelah malamnya.
Katanya, pada malam Jumaat, sebelum kejadian menimpa mangsa, dia bermimpi jatuh dalam gaung yang dalam berdekatan sebuah bukit, namun tidak mengesyaki apa-apa petanda buruk dan beranggapan ia hanya mainan tidur.
Terima ketentuan Tuhan
Menurutnya, ketika dalam perjalanan sebelum tiba di Dungun, dia hanya berdoa agar mayat anaknya segera ditemui dan sebaik sampai di bandar Dungun kira-kira jam 4.30 pagi semalam, Tuminah terus pergi ke tempat kejadian bagi mengetahui nasib anaknya.
“Mak cik berdiri di tepi pantai, jerit namanya beberapa kali, naluri ibu dapat rasa dia ada di sini nak jumpa makcik.
“Ia benar-benar berlaku, doa makcik dimakbulkan tuhan. Seketika kemudian, mayat Hanif timbul dan berjaya ditemui,” katanya.
Tuminah menganggap kejadian itu adalah ketentuan Tuhan. Hanif timbul selepas hampir 24 jam di tempat dia hilang ketika mandi bersama tiga rakan baiknya termasuk seorang daripadanya, Ahmad Shukrie Eiman Romainor yang turut menjadi korban dalam tragedi hujung minggu itu.
Kakak arwah, Hasnah Ahmad Apandi, 31 yang ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun berkata, beberapa hari sebelum tragedi, adik lelakinya itu menghubungi ibunya dan sempat bercakap dengan seorang lagi adik lelaki bongsu.
Dalam perbualan itu, arwah sempat meminta maaf kerana dia akan bertolak ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah.
“Saya tak sangka dia akan pergi begitu cepat. Saya redha dan mendoakan kesejahteraan rohnya,” katanya.
Jenazah pelajar semester dua diploma kejuruteraan automatif PSMZA itu dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Parit Sri Dalam, Senggerang Johor.
Dalam kejadian di Pantai Teluk Bidara kira-kira jam 9.30 pagi semalam, Muhammad Hanif Jainuri, 18 dan Ahmad Shukrie Eiman Romainor, 18, menjadi korban pantai selepas dibawa arus ombak ketika mandi bersama 11 lagi rakan sekolej.
Seorang lagi mangsa, Muammar Farhan Beig Shamsuri, 18, terselamat selepas berhempas pulas mengheret Shukrie ke tepi, namun Hanif yang turut lemas bersamanya gagal diselamatkan berikutan arus ombak terlalu deras.
IPOH: Seorang bayi lelaki cukup sifat yang baru dilahirkan ditemui dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran rumah kedai baru di Lapangan Perdana 19, Taman Lapangan Setia , di sini pagi tadi.
Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru dibuang di tepi longkang di sebuah kawasan rumah kedai sebelum dijumpai oleh orang awam.
Bayi itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.
REMBAU: Tindakan lima warga India beraksi ala filem Hollywood, 'Fast And Furios' memakan diri apabila kesemua mereka terbunuh selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terjunam ke gaung sedalam 20 meter di Kilometer 240.6, lebuhraya PLUS arah selatan, dekat Plaza Tol Pedas/Linggi, kira-kira 4.30 petang.
Dalam kejadian itu, mangsa D Ponneri, 23; S Annand Meenakshi, 23; V Ragunathan, 28 dan S Karupannan, 29 mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan.
Keempat-empat mayat dibawa ke Hospital Tampin, dekat sini untuk bedah siasat.
Bagaimanapun, rakan mereka, Vijay Khatik, parah namun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini, kira-kira 7 malam.
Sumber polis berkata, lima mangsa terbabit dari Chennai, India, difahamkan melancong ke Singapura beberapa hari lalu sebelum bertindak memasuki negara ini dengan menaiki kereta jenis Toyota Altis bernombor pendaftaran negara itu (Singapura).
Katanya, selepas bersiar-siar dan membeli-belah di Kuala Lumpur, kesemua mereka dikatakan mahu pulang semula ke republik itu.
"Dalam perjalanan pulang, pemandunya dikatakan membawa laju kenderaan dipercayai 160 kilometer sejam sebelum kereta hilang kawalan di lokasi kejadian.
"Akibatnya kereta dipandu terbabas dan 'terbang' ke gaung seperti dalam aksi filem Hollywood, Fast and Furious," katanya.
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bukan beliau seorang menjadi perhatian ramai malah tempias itu turut dirasai oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib berkata, bukan hanya cerita baik yang didengari malah ramai juga yang mempersoalkan peranan isterinya selama ini.
Menurut beliau, ramai yang tidak tahu bahawa isterinya telah membantu membebaskan pelajar Malaysia ketika Ops Piramid yang lalu.
"Beliau (Rosmah) telah menelefon isteri bekas kepada presiden Mesir Suzanne Mubarak bagi membebaskan seorang pelajar Malaysia yang dituduh perisik sewaktu operasi tersebut berlangsung.
"Pelajar tersebut dituduh sedemikian dan kemudiannya dihumban ke penjara, dalam dua jam, pelajar kita dibebaskan," katanya.
Presiden Umno itu berkata, ia merupakan salah satu daripada dua jasa Rosmah yang tidak pernah dimaklumkan kepada sesiapa sewaktu operasi itu dijalankan dua tahun lalu.
Bagi jasa kedua, Najib berkata semasa operasi yang berjalan, Najib berkata isterinya juga memohon jasa baik kerajaan Arab Saudi dengan "jaringan" dengan keluarga diraja, membolehkan pelajar Malaysia dapat singgah di Jeddah tanpa visa.
"Ia diusahakan oleh isteri saya kepada pelajar-pelajar kita. Malah dua kapal terbang Jumbo disediakan secara percuma bawa balik pelajar kita.
"Belum pernah saya beritahu tapi ia adalah sumbangan isteri saya kepada rakyat Malaysia," katanya.
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 60km/j dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter di perairan Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan sehingga Isnin, 9 Disember 2013.
Di Bintulu, Sarawak seorang pembantu gerai menjual pakaian dipercayai sempat berjalan 20 meter untuk meminta tolong dengan sebilah pisau pemotong sayur masih tercacak di lehernya sebelum dia rebah dan meninggal dunia di tapak Pesta Makanan 1Malaysia di Dataran Espalanade di sini, semalam.
Remaja lelaki berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Wan Akmal Rizan Wan Ramzi, itu ditemui terbaring tidak jauh dari gerai tempatnya bekerja berlumuran darah oleh orang ramai jam 3.40 pagi.
Gambar hiasan
Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu Deputi Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, berdasarkan kesan titisan darah di tempat kejadian, mangsa dipercayai sempat berjalan selepas ditikam di leher oleh penyerangnya.
Katanya, berdasarkan siasatan awal di tempat mayat ditemui, besar kemungkinan mangsa ditikam di gerai tempat dia bekerja atau tidak jauh dari situ.
“Ketika ditemui orang ramai, mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah dengan sebilah pisau pemotong sayur masih tertusuk di lehernya.
“Dengan bantuan anjing pengesan, polis menjejaki tempat yang dipercayai mangsa ditikam penyerangnya berdasarkan kesan titisan darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan tidur di gerai menjual pakaian milik majikannya bersama seorang rakan sekerja berusia 25 tahun.
“Tiada sebarang kesan pergelutan di tempat mangsa ditemui dan siasatan di khemah gerai jualan tempat dia bekerja juga tidak mempunyai kesan pergelutan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, polis menahan rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Difahamkan, mangsa baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berasal dari Betong.
Mangsa bekerja di gerai jualan pakaian di situ sempena Pesta Makanan 1Malaysia anjuran Persatuan Penjaja Cina Bahagian Bintulu yang berlangsung dari 15 November hingga 15 Disember ini.
Mayat dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
Seremban: "Hanya Allah mengetahui kesakitan yang saya alami ketika suami mengelar pipi, dahi, bibir dan tangan saya dengan pisau lipat,” kata Nor Hafazalina Mohd, 30, yang menerima 80 jahitan akibat tindakan kejam suaminya itu.
Menurutnya, kejadian berlaku jam 5 petang Jumaat lalu di rumah mereka di Ampangan, di sini, selepas dia minta diceraikan kerana tidak tahan dengan sikap lelaki itu yang tidak bertanggungjawab dan kerap keluar masuk penjara.
Nor Hafazalina berkata, suaminya yang berusia 30-an seperti naik hantu apabila mengelar muka dan tangannya lebih 18 kali biarpun dia meraung kesakitan dan merayu agar dikasihani.
“Puas saya merayu supaya dia menghentikan perbuatan itu, namun dia bagaikan naik hantu apabila tangan kanan menoreh muka manakala tangan kirinya menarik rambut saya,” kata ibu kepada dua anak lelaki itu yang ditemui di wad sebuah hospital, di sini, semalam.
Nor Hafazalina
Menurutnya, dia meminta cerai daripada suaminya yang dikahwini hampir 10 tahun lalu selepas berasa seperti digantung tidak bertali dan terpaksa menumpang di rumah ibunya di Ampangan, di sini.
Siapa tidak kenal dengan Paul Walker atau lebih dikenali sebagai Brian O’Conner sebagai pembawa watak utama di dalam filem Fast & Furious. Berita tentang kemalangan yang meragut nyawanya begitu mengejutkan seluruh dunia. Ialah kalau sakit ke, orang dah boleh jangka ini kemalangan kereta pada usia 40 tahun.
Oh! Media antara media internet di Malaysia yang terawal berkongsi maklumat ini diFacebook dan ianya mengejutkan ramai.
Kemalangan tragik ini membabitkan sebuah Porsche GT. Paul Walker tidak memandu kenderaan tersebut tetapi hanya menjadi penumpang disebelah semasa kemalangan berlaku. Mereka di dalam perjalanan untuk melakukan aktiviti amal bagi membantu mangsa taufan di Filipina. Malang tidak berbau, kereta yang dipandu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok dan serta-merta, Porsche GT tersebut terus terbakar.
Kehilangannya dilabel sebagai satu kehilangan besar kepada dunia perfileman dunia apalagi bila penggambaran filem Fast & Furious 7 masih lagi belum berkesudahan. Paul Walker meninggalkan sorang anak perempuan berusia 16 tahun. Kami di Oh! Media mengucapkan takziah di atas kehilangan permata dalam perfileman dunia ini.
Walaupun kematian Paul Walker ini telah disahkan banyak pihak, namun timbul satu isu baru yang mengatakan kemalangan hanya mengorbankan pemandu kereta yang tersepit dan bukannya Paul Walker. Paul Walker yang mengalami kecederaan parah di muka dan ini dibuktikan dari gambar yang kami terima ini.
Gambar sebelum dirawat:
Gambar selepas dirawat:
Sejauh mana kebenaran ini tidaklah diketahui cuma apa yang pasti pelbagai pihak termasuk dari pihak Paul Walker sendiri telah mengesahkan akan kematian pelakon ini dan ianya dianggap “confirm” bahawa Paul Walker telahpun tiada.