skip to main |
skip to sidebar
BUAT SUAMI , HATI-HATI FB ANDA DIPANTAU ISTERI ! !
Buat Suami,Hati-hati FB Anda Dipantau Isteri!! | Setiap masa, dia
rasa tidak keruan dan cemburu membuak-buak membuatkan Azman Fadil, 33,
(bukan nama sebenar) sering memeriksa akaun Facebook isterinya, malah
sanggup pula membuang rakan-rakan yang tidak ‘direstuinya’.
Sikapnya yang melampau itu membuatkan isterinya, Zana Ibrahim, 26,
(bukan nama sebenar) tertekan namun semakin menerima keadaan kerana
enggan bergaduh dengan suami sendiri gara-gara laman media sosial yang
menjadi perhatian ramai ketika ini.
Zana akui, suaminya memang kuat cemburu dan memeriksa akaun Facebook
miliknya pada setiap masa termasuk waktu tengah malam dan pagi, bagi
memastikan tiada ‘hubungan songsang’ berlaku antara isterinya dengan
mana-mana lelaki lain.
“Suami menyoal sekiranya dia sangsi mana-mana perkara yang tidak
berkenan di hatinya malah ramai kawan lelaki yang ada dalam senarai
rakan Facebook saya dibuangnya.
“Mulanya saya rasa agak tertekan tetapi saya malas hendak memikirkan
perkara itu dan sekarang, saya mengambil pendekatan tidak kisah. Saya
biarkan saja dia membuat pemeriksaan sesuka hatinya,” katanya.
Menurut Zana, dia pernah bergaduh besar dengan suaminya kerana merasakan
diri tidak dipercayai, namun disebabkan tidak mahu hubungan mereka
berantakan, dia mengambil sikap berdiam diri.
Malah, Azman turut membuka laman Facebook isterinya pada telefon
bimbitnya setiap masa bagi memantau mesej keluar masuk dan mana-mana
lelaki yang ingin menjadi rakan isterinya di laman sosial popular itu.
Setiap permintaan daripada lelaki untuk menjadi rakan Facebook isterinya
akan disekat dan dibuang, biarpun ada antara mereka rakan di pejabat
atau ketika di universiti.
Kata laluan untuk laman Facebook Zana memang diketahui Azman dan
sekiranya wanita itu menukar kata laluan, ia boleh menyebabkan perang
besar antara mereka.
“Mungkin kerana dia terlalu sayangkan saya dan bersikap mahu melindungi,
jadi dia bertindak sebegini. Namun kadangkala saya rasa rimas dan
mahukan sedikit kebebasan.
“Saya tidak salahkan dia 100 peratus cuma saya pinta diberikan
kepercayaan. Saya sayangkan dia dan tidak mungkin akan curang,” katanya.
Zana mengakui ketika masih belum berkahwin, dia tidak berhijab dan
selepas mengenakan tudung litup, suami memintanya membuang semua gambar
lama kerana tidak mahu ia dilihat lelaki bukan muhrim.
Namun, permintaan itu tidak dituruti kerana berasa Facebook umpama diari
yang menceritakan perjalanan harian seseorang termasuk penghijrahannya
kepada wanita yang kini bertudung.
Tidak cukup dengan Facebook, akaun Instagram serta Twitter miliknya juga
‘diambil alih’ dan dipantau Azman sehingga menyukarkannya menggunakan
dua
media sosial berkenaan dengan bebas kerana sentiasa dipersoalkan suami.
“Biarpun Azman bersikap terlalu mengongkong dan taksub mengawal semua
laman media sosial milik saya, dia seorang yang penyayang dan tidak
pernah berkasar pada saya.
“Laman sosial yang ada bukan punca masalah dan sepatutnya memberi faedah
kepada semua cuma ia bergantung kepada diri sendiri untuk memahami dan
menggunakannya,” katanya.
Layan perasaan
Ira Yasmin Ali, 30, (bukan nama sebenar) menjadikan laman media sosial
Facebook sebagai teman ketika sunyi apatah lagi suaminya sering bertugas
di luar kawasan hingga berminggu, membuatkan hatinya meronta kerana
ditinggalkan sendirian.
Hubungan dengan suaminya yang renggang kerana jarang menghabiskan masa
bersama membuatkan Ira Yasmin melayan rakan lelaki yang ingin menjadi
rakan di laman itu hingga membuahkan bibit cinta antara mereka tanpa
pengetahuan suami.
Ibu kepada dua anak itu rasa terpinggir dan kesunyian akibat perhatian
suami yang lebih fokus kepada kerja dan kurang berbual mesra,
menyebabkan dia rasa sudah tidak disayangi.
Sepanjang suaminya bertugas di luar kawasan, dia menghabiskan masa yang
panjang setiap hari sehingga berjam-jam untuk melayari laman Facebook
dan mengenali ramai rakan baru termasuk lelaki.
Apabila ada lelaki yang sudi memberi perhatian kepadanya, dia mula
melayan biarpun rasa bersalah tetap menyelubungi diri dan rasa berdosa
pada suami. Semuanya kerana mahukan teman yang dapat mengisi hatinya
yang terasa kosong.
“Hubungan kami renggang hingga akhirnya saya meminta cerai kerana rasa
sudah tidak serasi. Saya kemudian meneruskan hubungan dengan rakan
lelaki malah kami bertemu beberapa kali,” katanya.
Biarpun begitu, tanpa disangka-sangka, bekas suami mula memberi
perhatian dan merayu kepadanya untuk berbaik semula demi anak-anak yang
masih kecil.
Rasa kasih yang masih ada pada bekas suami dan memikirkan anak-anak, dia
kembali mengikat tali perkahwinan bersama suami namun hubungan mereka
terus diganggu kekasih Ira Yasmin yang tidak dapat menerima hakikat
ditinggalkan begitu saja.
Keadaan semakin berserabut apabila lelaki berkenaan mengugut suami Ira
untuk menceraikannya kerana mahu Ira Yasmin menjadi miliknya dengan
mengungkit kembali sikap suami wanita itu sehingga membawa kepada
perceraian.
“Saya masih sayangkan suami dan mahu terus berada di sampingnya apatah
lagi dia sudah berubah dan memberi perhatian pada saya. Namun perkenalan
saya dengan lelaki itu di Facebook mengganggu kebahagiaan yang ingin
saya kecapi sekarang ini.
“Bekas kekasih sanggup menghasut suami supaya menceraikan saja saya
kerana dia mengatakan mahu menjaga saya. Saya masih berhubung dengannya
biarpun hanya sebagai rakan. Mungkin saya masih ada sedikit perasaan
kepadanya,” katanya.
5 comments:
inilah FB.. lebih byk keburukan daripada kebaikan... kalo dah disalahgunakan mmg haru jadinya.. rumah tangga kucar kacir...
Fb boleh mndtngkan penceraian . So kenalah berhati2 .
Banyak pro dan kontrakan Deq....tp sebagai isteri janganlah ambik peluang kepercayaan yg diberikan oleh suami
Byk pro n kontranya Deq... Janganlah ambik kesempatan yg diberikan oleh suami kalau nk masuk syurga.....
guna medium canggih ke arah kebaikan , baru dapat byk manfaat
Post a Comment