Showing posts with label MH370. Show all posts
Showing posts with label MH370. Show all posts

12 March 2014

Jumpa rakit getah di Selat Melaka

Port Dickson: Satu objek dipercayai rakit getah keselamatan kapal terbang dengan tulisan 'boarding' ditemui sekumpulan empat nelayan kira-kira 10 batu nautika dari pantai di sini, semalam.
Penemuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dipercayai dapat memberi petunjuk dalam usaha pihak berkuasa mengesan pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan menara kawalan sejak awal Sabtu lalu.
Nelayan Azman Mohamad, 40 berkata, mereka sedang menangkap ikan di perairan terbabit sebelum sebelum terpandang objek berkenaan tenggelam timbul dipukul ombak.

Katanya, dia bersama tiga rakan yang mengikuti perkembangan kes kehilangan pesawat MH370 melalui media, tertarik untuk melihat objek itu dengan lebih dekat.
Foto

"Saya dan rakan sedaya upaya cuba mengambil objek itu dan berjaya sebelum menambatnya pada bot kerana bimbang ia tenggelam dalam laut.

"Objek itu mungkin tidak mampu terapung lama kerana koyak atau bocor," katanya, ketika dihubungi semalam.
Azman yang sudah 20 tahun menjadi nelayan berkata, mereka keluar menangkap ikan pada jam 8 pagi dan pulang kira-kira jam 8 malam.

"Sebaik menemui objek itu, saya terus menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kuala Linggi, Melaka, untuk mendapatkan bantuan selepas gagal menaikkan objek itu yang terlalu berat.

"Saya yakin penemuan objek itu penting kerana mungkin boleh menjadi petunjuk kepada usaha mencari pesawat MH370 kerana terdapat tulisan ‘boarding’ pada permukaan objek itu.

"Ia mungkin adalah rakit getah penyelamat yang dibekalkan kepada penumpang pesawat untuk menyelamatkan diri di laut," katanya.

Katanya, sebaik bot APMM tiba di lokasi, tugas mengangkat objek itu diserahkan kepada pasukan berkenaan, manakala mereka kemudian menyambung kerja menangkap ikan.

Sementara itu, jurucakap APMM Kuala Linggi ketika dihubungi mengesahkan sepasukan anggotanya dihantar ke tempat kejadian untuk menyiasat penemuan itu.

Bagaimanapun, katanya objek itu terus tenggelam dalam laut dan tidak sempat diselamatkan.

sumber : harian metro

TERDENGAR LETUPAN KUAT

Apa Kaitan Dengan Pesawat MH370?

Ketua Polis Kemaman Akui Dengar Letupan Dari Laut Cina Selatan : 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mendakwa turut mendengar bunyi letupan kuat dari arah Laut China Selatan, Sabtu lalu selepas pesawat MH370 Malaysia Airlines dilaporkan hilang.

Katanya, letupan kuat seperti dentuman bom itu didengari sewaktu beliau dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

“Selepas dikejutkan dengan dentuman kuat itu saya cuba memeriksa dari arah bunyi berkenaan yang datang dari arah lautan ekoran curiga sesuatu perkara buruk berlaku.

“Namun, tiada sebarang kesan yang mencurigakan ditemui,” katanya hari ini.

Che Suza berkata, beliau turut melakukan pemeriksaan dengan pihak bomba untuk dapatkan kepastian namun misteri letupan itu masih gagal dirungkai.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya turut menerima satu laporan polis dari orang awam berhubung bunyi letupan pada Isnin lalu

SUMBER : FB

11 March 2014

Hari 4: Mencari MH370, mengesan "Encik Ali"


Hari 4: Mencari MH370, mengesan

KUALA LUMPUR: Usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak lebih 80 jam lalu diteruskan hari ini dengan operasi digerakkan di kawasan yang lebih luas meliputi 100 batu nautika daripada titik terakhir pesawat itu dikesan pada awal pagi Sabtu lalu.

Kawasan itu meliputi perairan di sebelah barat dan timur Semenanjung Malaysia mencecah sampai ke Vietnam dan utara Sumatera. Operasi disertai oleh 22 buah pesawat udara dan 44 buah kapal dari lapan buah negara.

Bagi memudahkan operasi, kawasan berkenaan dibahagikan kepada beberapa petak dan setiap kapal laut serta pesawat yang menyertai usaha tersebut masing-masing ditugaskan meneroka setiap petak itu.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang media pada Isnin malam menegaskan usaha itu akan dipergiatkan kerana adalah mustahak untuk mengesan pesawat berkenaan untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku.

"Usaha ini masih lagi sebuah operasi mencari dan menyelamat dan bukannya operasi pemulihan bencana," katanya.

Pada sidang media sebelumnya pada tengahari Isnin, Azharuddin menyifatkan kehilangan pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu sebagai "misteri kehilangan pesawat yang belum pernah berlaku sebelum ini."


Pasport curi

Ketika operasi mengesan pesawat itu dipergiatkan, pihak berkuasa juga sedang mengesan seorang warganegara Iran yang didedahkan oleh seorang agen pelancongan di Thailand sebagai individu yang membeli tiket bagi pihak dua penumpang yang menaiki pesawat itu dengan pasport curi.

Agen pelancongan itu, Benjaporn Krutnait memberitahu akhbar The Financial Times pada Isnin, lelaki yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu itu hanya dikenali dengan nama "Encik Ali".

Krutnait pada awalnya menempah untuk lelaki Iran itu dua tiket ke Eropah pada 1 Mac lalu melalui penerbangan Qatar Airways dan Etihad. Tiket itu kemudiannya terbatal kerana tidak dituntut oleh Ali.

Pada Khamis 6 Mac, Ali menghubungi Krutnait dan agen pelancongan itu menempah penerbangan Malaysia Airlines kerana itu tiket paling murah yang ada. Beliau menempah tiket itu melalui China Southern Airlines yang berkongsi kod penerbangan dengan MH370.

"Tidak ada bukti Encik Ali kenal dua lelaki yang menaiki pesawat (MH370) dengan pasport curi," lapor The Financial Times.


Tiket

Krutnait mendedahkan perkara itu kerana tidak yakin Ali ada kaitan dengan keganasan kerana tidak menempah secara khusus penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sebaliknya meminta tiket termurah ke Eropah.

Kedua-dua penumpang misteri itu ditempah untuk penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing sebelum meneruskan penerbangan ke Amsterdam sebelum masing-masing ke Frankfurt dan Copenhagen.

Azharuddin dalam sidang media pada Isnin malam turut menegaskan siasatan ke atas rakaman visual
pergerakan dua penumpang misteri itu menunjukkan semua protokol keselamatan di KLIA telah dipatuhi.

Oleh itu, siasatan pihak berkuasa berhubung dua pasport curi yang digunakan untuk menaiki pesawat MH370 itu kini bertumpu kepada aspek penglibatan sindiket pemalsuan pasport.

Beliau juga mengesahkan, selepas meneliti rakaman dan foto, dua penumpang berkenaan bukan lelaki Asia.

MH370 'hilang' kerana kuasa tuhan

SHAH ALAM - Misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200 penerbangan MH370 ke Beijing yang dilaporkan hilang dari radar Sabtu lalu telah masuk hari ketiga.

Namun, sehingga jam 11 malam, masih tiada sebarang petanda yang menunjukkan perkembangan positif terhadap misi tersebut.

Segala teknologi dan peralatan canggih  dari seluruh dunia telah dikerahkan dalam misi itu tetapi masih tiada hasil setakat ini.

Melihat kepada kegagalan sains moden dalam mengesan lokasi MH370, bekas ketua juruterbang B777 Fleet MAS, Kapten Noruddin Abd Majid tidak menolak kehilangan pesawat berkenaan adalah kerana kuasa tuhan..

"Dunia berada pada tahap teknologi yang tertinggi di mana seseorang berjalan di lorong pun dapat dilihat daripada angkasa dan dapat diketahui identitinya.

"Apa pun yang berlaku, sebagai orang beriman, ini adalah ketentuanNYA. Ini bukan pertama kali berlaku di mana pesawat hilang daripada udara," katanya yang dipetik pada laporan sebuah TV, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyentuh tentang kehilangan pesawat itu dari radar pada ketinggian 35,000 kaki secara tiba-tiba.

"Satu dunia sudah melihat di mana sebuah kapal terbang yang berada pada ketinggian 35,000 kaki dengan kelajuan 855 kilometer (km) sejam dan kalau tak silap 14.5 km seminit melepasi pantai timur semenanjung dan baru saja hendak memasuki ruang udara Vietnam, hilang secara tiba-tiba.

"Berdasarkan kenyataan (pihak berkuasa), sebelum masuk ruang udara Vietnam, dalam kawalan positif dengan Air Traffic Control (ATC), pesawat tiba-tiba hilang terus dari skrin radar. Tidak ada kesan langsung.

"Ini mengelirukan dan satu perkara ajaib yang kita kena terima. Dunia kena terima," katanya.

Ketika ditanya soal tindakan yang boleh dilakukan, beliau berkata doa adalah senjatanya.

"Doa daripada orang-orang soleh yang dekat dgn ALLAH dan juga keluarga kerana mereka sedang beremosi. ALLAH melihatnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau menolak kemungkinan pesawat itu meletup di udara, ekoran tiada petanda ataupun serpihan yang ditemui selepas tiga hari operasi mencari dilancarkan.

"Kalau meletup sekalipun di udara, mesti ada serpihan. Pasti. Kerana pesawat ini terlalu besar. Enjinya adalah paling besar di dunia, sama saiz dengan badan Boeing 737.

"Tapi tak ada petanda. Tak ada serpihan. Tak ada tanda pada bacaan radar, jadi, tidak mungkin," katanya.

Beliau terlibat dalam operasi membawa pesawat Boeing 777-200 itu ke Malaysia pada tahun 2002.

SUMBER : SINAR HARIAN