18 January 2014

Kangkung kini topik panas komedi dan sindiran

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa rakyat menghargai penurunan harga kangkung dan memuji kerajaan, sayur murahan yang sering dikaitkan dengan belacan menjadi sensasi mencemuh program pemotongan subsidi Najib.
Sepanjang minggu ini, kangkung menjadi tajuk akhbar, perbualan di meja makan, jenaka dan tersebar luas di media sosial.
Sebagai contoh, edisi terbaru That Effing Show yang diacara dan diterbitkan Ezra Zaid bertajuk “Let Them Eat Kangkung” dimuat naik pada Khamis lalu sudah ditonton sebanyak 54,000 kali.
Video berdurasi enam minit itu mengulas mengenai kenyataan Najib, pertubuhan rekaan seperti Persatuan KangKung Satu Malaysia (Perkasa), Malaysian Choi-sum Association (MCA) dan Machas Institute of Cucumber (MIC) membicarakan tentang kangkung.
“Pengumuman mengejut perdana menteri dan tidak disangkakan tentang harga kangkung menyebabkan kekacauan seluruh negara. Jualan panik membuatkan harga jatuh dan mengundang kemarahan,” menurut permulaan video itu merujuk kepada perubahan politik selepas lapan bulan pilihan raya umum 2013.
Ezra berkata, komedi dan sindiran mampu mengundang kesedaran awam.
“Mereka boleh mencari ketenangan dengan komedi melalui banyak perkara yang tidak dapat difahami,” katanya.
Katanya, arena komedi dan sindiran satu spektrum luas yang boleh membincangkan perkara yang sukar dalam keadaan normal.
“Ia lebih fleksibel daripada dunia politik. Apabila khalayak mengaitkan dengan kandungan, ia membantu mereka mudah memahami sesuatu isu,” katanya selaku pemilik PopTeeVee yang menerbitkan rancangan parodi.
Pelakon dan pengarah artistik The Instant Cafe Theatre Company, Jo Kukathas, berkata komedi dan sindiran merubah cara khalayak berfikir dan sikap mereka terhadap ahli politik.
“Seni tidak memberikan kesan secara terus kepada ahli politik tetapi mengubah khalayak yang mengundi. Penonton dapat melihat apa yang kami buat dan mereka tertarik,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Kukathas berkata, kebanyakan warga Malaysia mempunyai sikap feudal yang merasakan sesuatu perkara biadap atau tidak dapat menerima pemimpin mereka diketawakan.
“Tetapi apabila kita membuat perkara lucu tentang mereka yang berkuasa, kita juga membuat penonton ketawa dan itulah membuatkan mereka lebih berkuasa. Ketika itu ahli politik melihat perubahan sikap pengundi mereka, pengundi akan melihat mereka dengan cara berbeza,” katanya.
Menggambarkannya sebagai "meleraikan ikatan", penganalisis politik dari Institut Pulau Pinang Wing Chin Huat bersetuju komedi dan sindiran membantu mendemokrasikan masyarakat.
“Kesannya kepada rakyat bawahan. Kita cenderung ditakutkan pihak berkuasa dalam masyarakat feudal. Kemarahan tidak membantu mengatasi ketakutan tetapi gelak tawa,” katanya.
Wong berkata, ketakutan hilang apabila ramai mentertawakan mereka yang berkuasa dan hasilnya orang ramai menjadi lebih berkuasa.
“Mustahil anda takutkan seseorang yang anda tertawakan. Tetapi apabila ahli politik berkata sesuatu yang bodoh dan kita ketawa, kita jadi berani,” katanya.
Ezra berkata, cabang seni seperti komedi dan sindiran memainkan peranan membentuk pandangan masyarakat.
“Wacana seperti ini semakin mendapat perhatian. Ramai yang sudah mula mengekspresikan diri,” katanya.
Namun, mempermainkan pemimpin negara ada padahnya.
Ada segelintir yang membantah keras jenaka seperti ini termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang membuat laporan polis pada Oktober tahun lalu berhubung satu episod The Effing Show apabila kumpulan itu mempermainkan keputusan Mahkamah Rayuan menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.
Mereka berkata klip "The Effing Show #95: Allah, Apa Lagi?" tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.
Mengulas isu itu, Ezra berkata, kematangan kerajaan dalam mengendalikan jenaka seperti itu adalah ujian kekuatan mereka.
“Jika kerajaan tidak boleh berdepan dengan jenaka, ia menunjukkan mereka lemah. Mana-mana kerajaan yang mengarahkan anda tidak boleh lakukan itu dan ini, pasti ada yang tidak kena.
“Lebih banyak anda mengelak, lebih banyak padah yang datang,” katanya.
Kukathas berkata: “Ahli politik hidup dalam kepompong. Malah laporan kangkung oleh BBC, mereka tidak suka.”
“Ahli politik tahu kuasa jenaka dan sindiran. Apabila banyak jenaka bermakna ahli politik kurang berkuasa kepada rakyat,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk dari PKR, Lee Khai Loon pada Rabu mengetuai pertunjukan seramai 15 orang di Alma, Bukit Mertajam bersama replika Najib dan poster mengkritik ‘kangkung’.
Mereka turut menyuapkan kangkung ke mulut replika itu sambil menyanyi lagu "Lenggang-lenggang Kangkung" versi yang diubah.
Ahli parlimen Umno menyelar perbuatan Lee dan mendakwa tindakannya menghina pemimpin negara.
“Adakah anda sedar anda menghina pemimpin negara? Ia bermaksud anda menghina diri sendiri,” kata Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Najib mengulas isu kangkung pada Khamis tentang mengapa beliau menggunakan sayuran itu sebagai contoh.
"Saya suka makan kangkung, anda semua suka makan kangkung...(sebab itu) saya beri contoh yang semua orang makan. Kalau saya beri contoh seperti burung puyuh, orang tertentu sahaja makan.
"Tidak seharusnya contoh itu dipermainkan oleh sesiapa kerana saya beri contoh sebagai prinsip 'supply and demand' (penawaran dan permintaan) yang tentukan harga sebahagian daripada barang makanan yang kita tidak kenakan harga kawalan," katanya. – 18 Januari, 2014.

SUMBER : YAHOO

5 comments:

  1. Assalamualaikum...panas dan hangat cerita mengenai kangkung...

    ReplyDelete
  2. Kang Kung melalui Fasa populariti.. hoho.. melonjak naik myaingi gwiyomi , gangnam style, syasya Solero, Bobo, dan laiN2.. ^^

    ReplyDelete
  3. Ada pihak yg boleh bergelak ketawa.....jadikan pemimpin neg sbg bahan gurauan..sekalipun dye berslh kita xde hak utk mnghukm dye.. even sy org pmbangkang i say that saya paling xsuka bila tgk org laen mmpermainkan seseorg..not just pemimpin n ulamak bahkan kalau kwn sndri pon brada di situasi trsebut...sy xsuka... sesuka hty jadikan dye bahan gurauan...edit gmbr org tu sesuka haty..adakah dgn cara itu kita dpt puaskan hati kte? perlu diigat setiap org ad perasaan..hanya Allah mmpu mmbalas segala prbuatan mrk:) Allah Maha Mengetahui..

    #maaf trpanjang sgt komen disini ^^

    ReplyDelete
  4. Ada pihak yg boleh bergelak ketawa.....jadikan pemimpin neg sbg bahan gurauan..sekalipun dye berslh kita xde hak utk mnghukm dye.. even sy org pmbangkang i say that saya paling xsuka bila tgk org laen mmpermainkan seseorg..not just pemimpin n ulamak bahkan kalau kwn sndri pon brada di situasi trsebut...sy xsuka... sesuka hty jadikan dye bahan gurauan...edit gmbr org tu sesuka haty..adakah dgn cara itu kita dpt puaskan hati kte? perlu diigat setiap org ad perasaan..hanya Allah mmpu mmbalas segala prbuatan mrk:) Allah Maha Mengetahui..

    #maaf trpanjang sgt komen disini ^^

    ReplyDelete
  5. KANGKUNG everywhere ~~
    macam nak "menganjing" pulakk diorng nie . huhu^^

    ReplyDelete